Tuesday, June 24, 2014

Kesultanan Empayar Melaka

Kesultanan Empayar Melaka

pada 21hb Mac 2014 pukul 11.47 pagi
Melaka dibuka oleh Maharaja Pameswara (1339 – 1413) pada sekitar tahun 1339 Masehi. Berasal dari sebuah negeri kecil yang kemudiannya menjadi sebuah empayar perdagangan maritim yang masyhur suatu ketika dahulu dan telah tinggal menjadi catatan sejarah pada masa sekarang.
Empayar Melaka hanya bertahan selama 172 tahun sahaja sebelum ianya jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511. Empayar ini berfungsi lebih mirip kepada corak pentadbiran Empayar Sri Wijaya jika dilihat dari segi penguasaannya terhadap negeri-negeri yang berada di sekeliling Semenanjung Tanah Melayu. Ianya bertujuan supaya perairan Selat Melaka sentiasa terkawal dari ancaman yang merupakan laluan utama perdagangan antara dunia timur dan barat.
Hubungan Melaka dengan China terus akrab, bukan sahaja menerusi hubungan dagangan bahkan menerusi ikatan perkahwinan. Selain itu, semasa era pemerintahan Dinasti Ming, Islam telah tersebar dengan meluas di China. Maharaja Dinasti Ming serta pembesar mereka juga dikatakan ramai yang beragama Islam. Selain mempunyai hubungan rapat dengan Melaka, Dinasti Ming juga mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Melayu lain yang wujud di zamannya. Semasa perang Champa dan Vietnam, Dinasti Ming adalah pelindung kepada Kerajaan Champa dan sering bertindak balas apabila Vietnam menyerang Champa.
Nenek moyang Kesultanan Melaka bernama Sang Sapurba atau juga dikenali sebagai Nila Pahlawan, merupakan keturunan Betara Tribuwana yang berundur ke Palembang apabila menerima asakan daripada Kerajaan Siam Ayuthia. Betara Tribuana tersebut ialah Maharaja Sri Wijaya, Srimant Trailokyaraja Mauli Bhusana Dewavarman (1183 – 1233). Putera baginda, Maharaja Suran adalah Maharaja Jawaka-Palembang (1233 – 1253) yang kemudiannya menurunkan zuriat raja-raja termasuk Kesultanan Melaka.
Sultan Melaka yang kedua menaiki tahta setelah kemangkatan Maharaja Parameswara ialah Sultan Iskandar Shah (1413 – 1423), yang merupakan putera bongsu Maharaja Parameswara. Sultan Iskandar Shah dikatakan memeluk agama Islam ketika berusia 72 tahun. Baginda mangkat pada penghujung tahun 1423 dan digantikan pula oleh cucunda baginda, Sultan Muhammad Shah (1423 – 1444). Setelah kemangkatan Sultan Muhammad Shah pula, Melaka diperintah oleh putera ketiga baginda, Sultan Ibrahim Dewa Shah atau Abu Shahid (1444 – 1445) yang hanya memerintah selama 1 tahun 8 bulan sahaja kerana mangkat dibunuh.
Kemangkatan Sultan Ibrahim Dewa Shah digantikan pula oleh putera bongsu Sultan Muhammad Shah, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1445 – 1459) yang juga adinda Sultan Ibrahim Dewa Shah. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah, Melaka telah diserang oleh Kerajaan Siam Ayuthia sebanyak dua kali. Namun kedua-dua serangan tersebut berjaya dipatahkan oleh Kerajaan Melaka menyebabkan tentera Siam Ayuthia pulang dengan kekalahan yang teruk.
Pada tahun 1459, Sultan Muzaffar Shah telah mangkat dan ditabal pula putera baginda, Sultan Mansur Shah I (1459 – 1477) menjadi Sultan Melaka. Pemerintahan Sultan Mansur Shah I adalah antara yang cemerlang di dalam sejarah Empayar Melaka. Di bawah pimpinan baginda, Melaka berjaya merebut negeri Pahang daripada taklukan Raja Ligor (Melayu-Siam) serta mengahwini puteri Gabenor Ligor bernama Puteri Wanang Sri Lela Wangsa.  Menerusi perkahwinan tersebut, Sultan Mansur Shah I dikurniakan beberapa orang putera yang kemudiannya ditabalkan sebagai Sultan Pahang. Daripada keturunan Sultan Mahmud Shah I dan Puteri Wanang Sri Lela Wangsa telah melahirkan keturunan Kesultanan Pahang Purba.
Selain negeri Pahang, Sultan Melaka tersebut juga berjaya menakluk Lingga dan Kepulauan Riau. Ianya sebagai langkah pertama baginda untuk memastikan perairan Selat Melaka terselamat daripada ancaman pihak luar disamping aktiviti perlanunan di kepulauan tersebut.
Pada tahun 1465, Kerajaan Siam Ayuthia telah menakluk Empayar Chermin-Langkasuka serta menjarah ibu kotanya. Sebagai tindakbalas atas penaklukan tersebut, Sultan Mansur Shah I telah menitahkan Laksamana Hang Tuah, Tun Mutahir serta dibantu oleh Laksamana Bentan Wan Demali. Turut menyertai angkatan tersebut ialah tentera dari Pasai (Acheh) telah sama-sama melakukan serangan balas yang diketuai oleh Sayyid Ali Nurul Alam (Patih Arya Gajah Mada). Serangan angkatan Melayu-Islam tersebut bukan sahaja telah berjaya menghalau keluar tentera Siam Ayuthia dari Tanah Melayu, tetapi serangan berkenaan telah melemahkan pasukan tentera Siam Ayuthia yang akhirnya diambil kesempat oleh Kerajaan Burma untuk menakluk kerajaan tersebut.
Sultan Mansur Shah I telah mangkat dalam tahun  1488 dan digantikan oleh putera kedua baginda, Sultan Mahmud Shah I (1488 – 1511). Baginda Sultan Mahmud Shah I adalah Sultan Melaka terakhir yang juga pengasas kepada Kesultanan Johor purba.  Selain itu, putera kedua baginda, Sultan Muzaffar Shah  adalah pengasas Kesultanan Perak purba.
Pemerintahan Sultan Mansur Shah I sebagai Sultan Melaka telah berjaya menundukkan negeri Kelantan, Perak dan Pasai serta menjadikan negeri-negeri berkenaan berada di bawah naungan Empayar Melaka. Baginda juga berjaya menangkis usaha-usaha daripada Kerajaan Jawa dan Siam untuk menjatuhkan Empayar Melaka.  Dalam tahun 1509, Sultan Mansur Shah I telah berjaya mematahkan serangan Raja Ligor untuk menyerang kerajaan baginda. Bagaimana pun, setelah berlaku pengkhianatan dari kalangan pembesar istana, Melaka telah berjaya ditawan oleh Portugis dalam tahun 1511. Sultan Mansur Shah I kemudiannya berundur ke Johor dan menubuhkan pusat pemerintahan baginda di sana.

No comments:

Post a Comment