Tuesday, June 24, 2014

HIKAYAT MELAYU @ SEJARAH MELAYU “LONG VERSION” VERSI TENGKU SAID: SATU KAJIAN TEKS SASTERA SEJARAH

HIKAYAT MELAYU @ SEJARAH MELAYU “LONG VERSION” VERSI TENGKU SAID: SATU KAJIAN TEKS SASTERA SEJARAH

pada 21hb Mac 2014 pukul 2.57 ptg
HIKAYAT MELAYU @ SEJARAH MELAYU “LONG VERSION”
VERSI TENGKU SAID: SATU KAJIAN TEKS SASTERA SEJARAH

By  NORAZIMAH BT ZAKARIA
     Fakulti Bahasa dan Komunikasi
     Universiti Pendidikan Sultan Idris
     norazimah@fbk.upsi.edu.my

ABSTRAK
Teks Hikayat Melayu adalah teks sastera sejarah yang lahir pada abad ke-19. Teks
Hikayat Melayu versi Tengku Said dalam kajian ini juga dikenali sebagai Sejarah Melayu
versi Panjang atau Long Version. Objektif utama kajian adalah untuk melihat hukum
kepengarangan Melayu abad ke-19. Sastera sebagai produk sosial bermakna karya boleh
difahami dari sudut perspektif sosiologikal. Kajian ini bertitik tolak daripada persoalan
yang dikemukakan oleh Ken Plummer (1997) dalam bukunya Studying Culture: An
Introductory Reader. Di antara persoalan yang disesuaikan dalam kajian ini adalah “the
nature of stories” iaitu melihat tema Hikayat Melayu dan signifikannya, ia menjurus
kepada jenis tema dan tujuan tema tersebut ditulis oleh penulis. Persoalan kedua ialah
“the making of stories” yang disesuaikan sebagai kajian teks dan lapangan sosio budaya,
yang melihat mengapa Hikayat Melayu itu dikarang, bagaimana cerita tersebut boleh
membentuk masyarakat dan adakah Hikayat Melayu cuba mengesahkan kekuatan rajanya
atau cuba mengukuhkan institusi raja atau menentang institusi raja. Rumusan di akhirnya
ialah, walaupun Hikayat Melayu lahir pada abad ke-19 namun teks ini masih
mengesahkan kehadirannya dengan merujuk kepada sumber tradisi Sejarah Melayu atau
Kanon dan masih lagi berada dalam lingkungan teks sastera sejarah.
Kata kunci: sastera sejarah; Hikayat Melayu; Sejarah Melayu; kanon; budaya

THE LONGER VERSION OF TENGKU SAID'S HIKAYAT MELAYU @
MALAY ANNALS: A HISTORICAL LITERARY TEXT STUDY

ABSTRACT
The renowned Hikayat Melayu is a nineteenth-century literary works and by far still
commands presence as a canonical, historical literary text based on its traditional sources.
For the purpose of this study, a longer version of Tengku Said's Hikayat Melayu is
referenced to examine the rules of Malay authorship during the 19th century. From
sociological perspective, a comprehensive literary work is considered as a social product.
This study takes into form based on the questions by Ken Plummer (1997) in Studying
Culture: An Introductory Reader. Among the questions devised is "the nature of stories,"
which observes types and purposes of the theme, and significance of Hikayat Melayu
written by the author. For the second question, "the making of stories" is designed to be
in parallel with context of study and socio-cultural in exploring the reason of its
narration, its outcome in shaping society and to verify the supremacy of Malay kings, in
defence or against the institution.

Keywords: historical literature; Hikayat Melayu; Malay Annals; canon; culture

PENGENALAN
Sastera sejarah terdiri daripada bentuk cerita, prosa dan puisi. Di antara beberapa contoh
teks sastera sejarah ialah Sejarah Melayu (1996), Tuhfat Al Nafis (1982), Hikayat Siak
(1992), Hikayat Merong Mahawangsa (1991), Hikayat Raja Pasai (1987), dan Hikayat
Melayu (1998). Hikayat Melayu menyusurgalurkan keturunan raja-raja Melayu sehingga
berkesinambungan kepada keturunan raja Siak dan teks Hikayat Melayu juga sarat
dengan unsur sastera yang bercampur gaul dengan unsur sejarah Siak.
Sebagai sebuah teks sastera sejarah, Hikayat Melayu juga mempunyai tujuan yang
tertentu mengapa ia ditulis. Pada bahagian mukadimahnya tidak ada langsung petikan
yang menunjukkan teks itu ditulis untuk “tujuan menyukakan rajanya” ataupun “supaya
diketahui oleh anak cucu yang terkemudian” melainkan hanyalah disebut oleh pengarang,
seperti contoh petikan berikut, “Inilah ceritera Raja Iskandar Zulkarnain tertulis di dalam
negeri Betawi kepada 24 Julai tahun 1893” (Hikayat Melayu. 1998: 1).
Walau bagaimanapun, petikan di atas menunjukkan hasrat sebenar pengarang
iaitu untuk menceritakan atau menyusurgalurkan keturunan Raja Iskandar Zulkarnain.
Teks ini juga memaparkan dengan jelas tarikh dan tempat, bila dan di mana teks Hikayat
Melayu ini ditulis. Ia bersesuaian dengan ciri-ciri teks sastera sejarah itu sendiri yang
dilihat telah melepasi tahap genre sastera sebelumnya yang kebanyakannya tidak
memaparkan siapa pengarang, bila dan di mana ia ditulis.

PENULISAN TEKS HIKAYAT MELAYU
Pengarang teks Sejarah Melayu (1996) ialah Tun Seri Lanang. Manakala teks Tuhfat Al
Nafis (1982) dikarang oleh Raja Ali Haji, dan Hikayat Merong Mahawangsa (1991)
dikatakan telah disalin oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin Pulau Pinang pada tahun
1898 (Siti Hawa Salleh, 1997: 59). Silsilah Raja-raja Melayu dan Bugis ditulis oleh Raja
Ali Haji, dan Hikayat Melayu (1998) ditulis oleh Tengku Said manakala penyalinnya
ialah Muhammad Nuruddin Aceh.

Sebagai sebuah teks sastera sejarah, teks Hikayat Melayu (1998) memperlihatkan
gaya penulisan sastera di bahagian awal penceritaannya dengan kemasukan unsur sastera
seperti mitos dan legenda. Unsur seperti ini amat jelas dilihat pada halaman satu (1)
hingga halaman empat ratus dua (402). Halaman seterusnya memperlihatkan masih ada
unsur-unsur ini bergabung jalin dengan kehidupan realiti sebenar masyarakat pada masa
itu tetapi dilihat sudah berkurangan kerana lebih memaparkan keadaan sebenar zaman
pemerintahan keturunan Raja Kecil Siak.

Bahagian seterusnya lebih banyak berkisar mengenai kemasukan penjajah dan
dapat dilihat bagaimana pengarangnya lebih banyak memaparkan cerita yang bersifat
realistik. Berkemungkinan besar, dunia kehidupan pengarang dengan zaman
pemerintahan keturunan Raja Kecil Siak amat hampir dengannya atau pengarang sendiri

berada pada zaman itu menyebabkan pengarang lebih berfokus kepada aspek realistik
atau realiti sebenar pada zaman itu.

Sebagai sebuah teks sastera sejarah, Hikayat Melayu (1998) ini mempunyai gaya
bahasa sastera yang baik. Teks ini menggunakan bahasa Melayu persuratan yang mudah
difahami. Secara keseluruhannya, gaya bahasa yang digunakan dalam penulisan teks ini
ialah bahasa Melayu klasik yang biasa digunakan dalam penulisan teks sastera sejarah.
Hikayat Melayu ini dikarang pada tahun 1855, kira-kira enam tahun setelah Raja
Akil mangkat (1849) iaitu abad ke-19. Hikayat Melayu ditulis atas perintah (Tuan
Fandarwola) atau Von de Wall (penolong Residen di Sukadana pada masa itu).

Contohnya:
Dan yang menyurat Sejarah Melayu ini, Tengku Said; disuruh Tuan Fandarwola,
Esti Residen Komisi di dalam Sikudana, kepada tarikh 1272, kepada dua puluh
tiga dari bulan Safar, hari Ahad, bermula menyuratnya, adanya. Dan sudahnya
kepada delapan hari bulan Rabiulakhir, hari Isnin tamatnya (hlm. 647).
Berdasarkan petikan di atas, Hikayat Melayu telah disalin oleh Muhammad
Nuruddin Aceh pada “sebelas bulan Zulhijah kepada hari sabtu, tamat pada Sanat 1310,
Betawi” (Hikayat Melayu, 1998: 647). Tengku Said sebagai penyurat Hikayat Melayu ini
telah disebut oleh Muhamad Nuruddin Aceh di bahagian kolofon. Petikan ini juga
menyebut teks ini sebagai “Sejarah Melayu”. Lazimnya, teks sastera sejarah ditulis atas
perintah raja atau pemerintah, tetapi Hikayat Melayu ditulis atas perintah penjajah.
Walaupun begitu ia masih mengekalkan tradisi mengangkat golongan pemerintah.

Hikayat Melayu (1998) yang diselenggarakan dan diberikan judul oleh
Muhammad Yusoff Hashim merujuk pada versi keenam iaitu sebuah versi teks Sejarah
Melayu dari versi panjang. Walaupun dikatakan Hikayat Melayu mengambil sumber dari
Sejarah Melayu, perlu dilihat juga teks Hikayat Melayu ini turut dijadikan sumber kepada
kewujudan teks sastera sejarah yang lain. Virginia Matheson (1986: 495) misalnya telah
dapat mengesan sumber-sumber bertulis yang digunakan oleh Raja Ali Haji dalam
penulisan Tuhfat Al-Nafis. Antaranya ialah Sejarah Siak yang dirujuk sebagai Cod. Or.
7304 (sn.H.78) yang berjudul (Sejarah Raja-raja Melayu), Von De Wall 191 berjudul
(Sejarah Raja-raja Melayu) dan Cod. Or. 6342 (Sejarah Raja-raja Melayu). Menurut
Roolvink (1970: xiii) yang dipetik oleh Muhammad Yusoff Hashim (1992: 495)
mengatakan ada pihak yang gemar memanggil teks di atas sebagai Hikayat Raja Akil atau
Hikayat Siak.

TEMA HIKAYAT MELAYU DAN SIGNIFIKANNYA ATAU “THE NATURE OF
STORIES”

Hikayat Melayu ini mengisahkan hubungan politik Raja Kecil dan keluarganya serta
keturunannya dengan keluarga Bugis di Johor yang sedang dirujuk sebagai dua pihak
Melayu yang saling bermusuh-musuhan sepanjang abad ke-18 dan awal abad ke-19. Ia
juga mengisahkan hubungan politik anak-anak Raja Kecil seperti Raja Alam dan Raja
Buang (Tengku Mahmud) dengan kuasa dan kerajaan setempat seperti Terengganu,
seluruh kepulauan Riau- Lingga- Bentan, barat daya Borneo, beberapa buah kerajaan
kecil di pantai timur Sumatera antaranya seperti Palembang dan Kampar.


Di antara kewajaran tema politik terutamanya aspek susurgalur keturunan Raja
Kecil, pergolakan politik antara Sultan Mahmud dan Raja Buang, pergaduhan di antara
Bugis dengan Siak dan seterusnya sehinggalah kepada kisah Raja Akil adalah disebabkan
beberapa faktor.

Di antaranya ialah:
Pengarang Merasakan Wujudnya Kepentingan Pemerintah iaitu Raja Buang
(Sultan Mahmud) Berbanding Raja Alam

Berdasarkan salasilah Raja Kecil dan keturunannya, didapati Raja Kecil mempunyai dua
orang isteri, iaitu

pertama;
anak Dipati Batu Kucing. Hasil daripada perkahwinan itu
mereka dikurniakan seorang anak yang bernama Raja Alam (Sultan Alam).

Isteri kedua
Raja Kecil adalah anak Bendahara bernama Tengku Kamariah dan daripada perkahwinan
itu Raja Kecil mendapat seorang anak bernama Raja Buang (Sultan Mahmud). Raja
Buang yang berketurunan Johor iaitu bersalasilah daripada keluarga Bendahara Johor
mempunyai nasab yang baik di sebelah ibunya berbanding Raja Alam hanyalah anak
orang biasa dan dianggap tidak layak untuk menerajui kepimpinan Siak.

Tengku Said yang mempunyai hubungan darah dengan Raja Buang sudah
tentulah akan mendahulukan kaum kerabatnya dalam menaratifkan Hikayat Melayu ini.
Perpecahan kuasa dan perebutan kuasa di antara dua orang adik beradik berlainan ibu ini
menjadi titik tolak kepada penciptaan Hikayat Melayu. Faktor hubungan darah di antara
keturunan sebelah Bendahara dengan Tengku Said menyebabkan corak penceritaannya
lebih terarah kepada golongan di sebelah Johor berbanding hubungan darah keluarga
yang jauh dengannya iaitu Raja Alam.

Perebutan kuasa yang berlaku di antara Raja Alam dengan Raja Buang adalah
disebabkan keturunan. Sebagai anak yang tua, Raja Alam mempunyai hak untuk menjadi
pewaris takhta bapanya tetapi pelantikan sebagai Sultan Siak diberi kepada Raja Buang
kerana Raja Buang lebih berhak dari segi nasabnya yang berketurunan gahara (ibunya
ialah Tengku Kamariah) dan faktor inilah yang menyebabkan berlaku ketidakpuasan hati
Raja Alam.

Merujuk kepada sistem pemerintahan kesultanan Melayu lama, sistem pewarisan
amat penting dalam menggantikan pemerintah yang terdahulu. Sewajarnyalah Raja
Buang yang diangkat dan bukannya Raja Alam. Seterusnya, wasiat Sultan Mahmud (Raja
Buang) supaya anakandanya tidak bertuankan orang Melayu (iaitu Bugis) menjadi
pencetus naratif penceritaan yang seterusnya. Seperti mana wasiat oleh Sultan Mahmud
itu contohnya:

Maka baginda memanggil adinda Tengku Busu. Maka lalu baginda berpesan,
“Jangan sekali anak cucu kita merajakan Raja Melayu, biarlah menjadi hamba
Cina, Olanda.” Dan lalu baginda berpesan kepada anakanda sekalian, “Hendaklah
baik-baik muafakat adik beradik” (hlm. 470).

Bertitik tolak daripada wasiat ini, maka naratif penceritaan lebih banyak
mengisahkan mengenai kebaikan penjajah berbanding orang Melayu (iaitu Bugis).
Tengku Akil sebagai berketurunan daripada Sultan Mahmud mungkin lebih sanggup
menerima penarafan sebagai seorang Sultan oleh Belanda kerana menurut kepada wasiat
ini sendiri, adalah lebih baik mereka bertuankan Belanda dan Cina daripada bertuankan
orang Melayu (dalam erti kata, Belanda dan Cina lebih baik daripada orang Melayu).

Mungkin kerana berpegang kepada wasiat ini maka tidak hairanlah apa yang disuratkan
oleh Tengku Said lebih banyak berpihak kepada ruang lingkup kehidupan ketuanannya
sahaja.

Kepentingan Belanda, Menaikkan Nama Belanda
Dalam Hikayat Melayu, hubungan yang baik di antara Raja Akil dengan pihak Belanda
dikatakan amat rapat. Raja Akil dikatakan “berhambakan dirinya kepada Kompeni
Olanda” (hlm. 601). Tengku Akil juga telah digelar Mayor oleh Belanda (hlm. 639).
Mengikut catatan sejarah, Raja Akil adalah Sultan Kayung pertama di Sikudana
(Sukadana) di bahagian barat daya Borneo, dengan bergelar Sultan Abdul Jalil Syah.

Baginda mangkat pada tahun 1849 setelah menjadi raja mulai tahun 1827. Baginda juga
adalah raja dari keturunan Siak yang pro-Inggeris dan Belanda yang bersedia pada bilabila
masa sahaja, bekerjasama dengan kedua-dua kuasa penjajah ini. Ini dilakukannya
setelah kecundang dalam usaha untuk menuntut takhta kerajaan Siak yang dimonopoli
oleh keluarga pemerintah dari keturunan Sayyid itu.

Sebelum merajai Sikudana beliau berkhidmat dalam tentera Belanda. Pada masa itulah tenaga mental, fizikal dan
diplomatiknya digunakan oleh pemerintah Belanda untuk memerangi musuh-musuh
Belanda yang terdiri dalam kalangan orang Melayu, termasuklah suku Bugis dan
Palembang. Kerana ketaatannya kepada Belanda itulah beliau dinaikkan ke pangkat
major atau mayor, lalu bergelar Mayor Raja Akil. Di samping itu, beliau dilapor turut
menjalankan usaha perniagaan di kawasan perairan Melayu ini (Muhammad Yusoff
Hashim, 1992: 23).

Pertolongan yang diberi oleh Belanda kepada Raja Akil menjadi faktor penting
untuk rakyat menilai kebaikan penjajah seperti Belanda. Maka hubungan antara
pemerintah dengan yang diperintah dapat berjalan lebih lancar lagi. Hubungan yang baik
di antara Raja Akil dengan Belanda turut mempengaruhi mengapa teks ini ditulis. Tengku
Said menulis kerana diarah oleh Von de Wall iaitu seorang Esti Residen Komisi di
Sikudana. Von de Wall adalah seorang warga Belanda dan adalah mustahil bagi Tengku
Said untuk menulis perkara yang tidak elok mengenai Belanda. Maka sudah tentulah halhal
yang baik perlu dipaparkan oleh Tengku Said mengenai Belanda.

TEKS DAN LAPANGAN BUDAYA
Bagi penulisan sastera sejarah atau karya historiografi, karya-karya ini dirakam tulis bagi
meriwayatkan susur galur keturunan raja sebuah kerajaan. Hal ini boleh dirujuk kepada
Sejarah Melayu. Setelah penjajah datang ke tanah Melayu, kebanyakan karya ditulis
semula kerana permintaan penjajah. Ada juga karya yang dihasilkan diterbitkan oleh
pihak penjajah, contohnya karya Raja Ali Haji iaitu Gurindam Dua Belas diterbitkan oleh
majalah TBG, 2, Betavia. Contoh yang lain juga adalah apabila Raja Ali Haji meminta
jasa baik Von de Wall untuk menjilid teks kepunyaan beliau seperti Mukhtasar Ayariat
al-Islam dan Taj al-Salatin (Abu Hassan Sham, 2007: 2). Faktor hubungan baik di antara
pengarang dengan penjajah juga menggalakkan lagi bidang penulisan. Lahirnya pusat
penerbitan menggalakkan lagi teks-teks ini dikembang luaskan. Plot sastera sejarah
bersifat kronologi iaitu ada bahagian permulaan, pertengahan, puncak atau klimaks dan


pengakhiran cerita. Plot ini mengikut urutan perjalanan waktu. Hikayat Melayu
mempunyai plot seperti sastera sejarah yang lain iaitu plot kronologi. Kisah bermula
dengan Iskandar Zulkarnain dan keturunan serta jajahan takluknya sehinggalah ke
Melaka (permulaan cerita), seterusnya kisah kemangkatan Sultan Mahmud II dan
lahirnya Raja Kecil sebagai pewaris di Johor sebagai anak Sultan Mahmud II (klimaks
atau kemuncak cerita) dan berakhir dengan kematian Raja Akil serta dilantik dengan
pengganti yang baru (penyelesaian atau pengakhiran cerita).

Hikayat Melayu juga memperlihatkan plot yang sama seperti Sejarah Melayu iaitu
berbentuk kronologi dan setiap urutan cerita mempunyai mesejnya yang tersendiri.
Episod permulaan kisah Raja Kecil dalam Hikayat Melayu adalah klimaks bagi plot
Hikayat Melayu ini dan peperangan dengan Bugis merupakan di antara urutan plot yang
menentukan hala tuju teks Hikayat Melayu ini sehinggalah episod akhirnya. Ia
menjelaskan susur galur keturunan Raja Iskandar Zulkarnain, zaman pemerintahan
kesultanan Melayu Melaka, zaman pemerintahan Raja Kecil dan sehinggalah kepada
pemerintahan Raja Akil.

Konsep “poetic justice” dalam Hikayat Melayu ditunjukkan dengan jelas
terutamanya bagi episod di zaman sebelum pemerintahan Raja Kecil, dan seterusnya
kisah lebih banyak bertumpu mengenai anak-anaknya apabila kedua-dua orang anaknya
saling bermusuhan dan melanggar wasiat dan tidak menghormati amanah ayahanda
mereka sehingga menyebabkan berlakunya perang di antara kedua-duanya.
Konsep “poetic justice” dapat dilihat dalam teks Hikayat Melayu apabila
rampasan kuasa yang dilakukan oleh Bendahara dan Temenggung sehingga
menyebabkan kematian Sultan Mahmud II menuntut pembalasan yang setimpal dengan
penderhakaan yang dilakukannya. Tengku Said memaparkan dengan jelas kepada kita
bahawa perbuatan yang jahat pasti menerima pembalasan di akhirnya. Bendahara yang
cuba menderhaka diingatkan oleh Seri Bija Wangsa dengan kata-kata berikut.

Contohnya:
Setelah didengar oleh Seri Bija Wangsa, maka ia berkata kepada Bendahara,
“Jikalau sahaya mati, Duli Yang Dipertuan tentu tiada kekal menjadi raja, kerana
sahaya sekali-kali tiada niat derhaka. Dan lagipun, sudahlah sampai ajal bilangan
kepada ini hari, hendak mati syahid, teraniaya. Dan kepada akal sahaya, Datuk
pun tiada lama juga memerintahkan Johor ini. Kematian seperti sahaya juga.
Datuk kedua bersaudara dapat balasan dari pada Tuhan Wahid ul Qahhar,
adanya.... (hlm. 406).

Bertepatan dengan sebab inilah, pengarang mewajarkan tindakan Raja Kecil
menjatuhkan pemerintahan Bendahara di Johor kerana Raja Kecil berhak membalas
tindakan dan perbuatan Bendahara dan Temenggung ke atas kematian ayahandanya iaitu
Sultan Mahmud II. Kejatuhan Johor ke tangan Raja Kecil sekali gus memperlihatkan
pembalasan yang ditakdirkan kepadanya yang tidak kekal lama memerintah Johor. Sikap
dan kebaikan Raja Kecil jelas dipamer oleh Tengku Said kerana baginda dapat
memaafkan kesalahan Bendahara dan telah menggelarnya sebagai ayah dan dilantik
sebagai Bendahara kembali. Raja Kecil akhirnya berkahwin dengan Tengku Kamariah
anak Bendahara.

Dalam Hikayat Melayu ini juga, pengarang memaparkan kepada kita pembalasan
yang diterima oleh Temenggung (Yamtuan Muda) akibat dosa dan perbuatan yang telah
dilakukannya. Dia akhirnya telah membunuh kesemua anak dan isterinya serta dihukum
bunuh oleh Bendahara. Pengarang juga memaparkan kepada kita pengakuan dosa besar
yang dilakukan oleh Temenggung membunuh ayahanda Raja Kecil. Contoh petikan:
Serta sudah ia membunuh anak isterinya, datanglah takut hatinya, lalu ia terjun,
lari ke hutan kayu onal. Ia bersembunyi.

Akan Yang Dipertuan Besar, “Tiada aku mahu lari, kerana besar sangat dosaku membunuh ayahanda baginda. Dan baiklah aku serahkan nyawaku, mana dengan perintah Yang Dipertuan.” (hlm. 429)
Dalam hal ini pengarang memperlihatkan kepada kita bahawa Bendahara yang
bersekongkol dengan Temenggung akhirnya dengan sendirinya telah menjatuhkan
hukuman mati ke atas Temenggung di atas kesalahan derkaha membunuh anak isterinya
tanpa izin baginda sedangkan Raja Kecil pada awalnya telah memaafkan Temenggung
kerana kata baginda:

Maka titah baginda kepada hulubalang baginda, “Tiada patut. Orang sudah
menyerahkan nyawanya kepada kita, tiada patut kita bunuh.” Dan tiada dibunuh
baginda. (hlm. 429)

Berdasarkan petikan teks di atas, kemaafan yang diberikan kepada kedua-duanya
telah diberikan oleh Raja Kecil menggambarkan kepada kita bahawa Raja Kecil adalah
seorang raja yang amat baik dan bertimbang rasa. Namun sikap yang ditunjukkan
mengenai perangai Bendahara menyebabkan berlakunya pergolakan politik di antara
mereka. Hal ini merujuk kepada sikap Tengku Tengah iaitu anak Bendahara yang
berdendam dengan perkahwinan Raja Kecil dan Tengku Kamariah sehingga Tengku
Tengah bermuafakat dengan Bugis untuk menjatuhkan Raja Kecil.

Seterusnya, “poetic justice” juga boleh dilihat di dalam bentuk wasiat. Wasiat
amat penting supaya dipatuhi, hal ini adalah kerana akibat pelanggaran wasiat akan
menyebabkan kerajaan akan menjadi huru hara, kemenangan tentulah berpihak kepada
Sultan Mahmud (Raja Buang) dan keturunannya kerana Sultan Mahmud lebih berhak
dilantik sebagai pewaris yang lebih berhak selepas kemangkatan Raja Kecil. Contoh
petikan:

Dan Orang Besar-besar di dalam Siak memegang titah Yang Dipertuan Besar,
mengatakan Tengku Mahmud itu menjadi Yang Dipertuan Besar di dalam Siak,
dari kerana baginda putera yang gahara. (hlm. 450)

Sebagai seorang anak gahara, Sultan Mahmud berhak berada di tampuk
pemerintahan berbanding abangnya Raja Alam. Raja Alam telah memulakan
persengketaan dengan tidak mahu menerima pelantikan Sultan Mahmud sebagai
pengganti kerana dia merasakan dirinya lebih layak memandangkan dia adalah anak yang
paling tua. Persengketaan itu telah mencetuskan perasaan tidak puas hati dan Raja Alam
telah mengambil langkah untuk memerangi Sultan Mahmud iaitu adiknya sendiri (adik
berlainan ibu).

Sikap Raja Alam yang begitu tamakkan kuasa tergambar di dalam petikan
di bawah:

Maka baginda pun tersenyum, kata baginda “Sebelah abang menjadi ipar kepada
sahaya, lagi saudara, kita lawanlah, kerana paduka ayahanda itu sudah hilanglah
akalnya, sebab menurutkan nafsunya.” (hlm. 472)
Petikan teks tersebut adalah perbualan di antara Tengku Muhammad Ali (Yang
Dipertuan Muda) dengan pengganti Sultan Mahmud yang telah mangkat iaitu Tengku
Ismail. Disebabkan sikap Raja Alam yang ingin merampas semula takhta kerajaan Siak

maka dia dikatakan sanggup memerangi Siak yang diperintah oleh anak saudaranya
setelah kematian Sultan Mahmud, maka dia dianggap sebagai seorang yang terlalu
mengikut hawa nafsu.

Peperangan di antara bapa saudara dengan anak saudara pastilah akan berpihak
kepada orang yang lebih tua dan berpengalaman seperti Raja Alam. Raja Alam yang
menganggap pengganti Sultan Mahmud sebagai anak-anak kecil dan tidak tahu berperang
telah menidakkan kredibiliti pangganti Sultan Mahmud. Namun, tekaannya silap bahawa walaupun mereka
masih muda tetapi cara mereka berperang seperti orang dewasa. Contoh petikan yang
menunjukkan Raja Alam memperlekehkan kebolehan anak saudaranya itu ialah:
Dan kepada sehari-hari berperang juga, sampai enam bulan, negeri Siak tiada juga
alah.

Dan dua kali mengambil sordadu ke Melaka. Dan kapitan kapal pun terlalu
marah kepada Yamtuan Muda Raja Alam, “Dan tuan raja dibilang negeri Siak
boleh diambil tiga jam, kerana rajanya kanak-kanak kecil. Akan sekarang, kita
lihat, rupa perangnya seperti orang yang biasa, lagi berani. (hlm. 474)
Walaupun kemenangan berpihak kepada Raja Alam, namun kemenangan itu
dikatakan tidaklah dapat membuktikan kehebatan Raja Alam kerana Raja Alam
bermuafakat dengan Melaka dan Olanda untuk merampas Siak, tambahan pula ubat bedil
di dalam negeri Siak sudah habis dan dikatakan telah basah akibat dijirus oleh Tengku
Embung dengan air.

Episod ini amat menarik apabila Tengku Muhammad Ali akhirnya mengalah
dalam peperangan walaupun dia sebenarnya berada di pihak yang akan “menuju kepada
kemenangan”. Hal ini terjadi apabila Tengku Muhammad Ali mungkin tidak sanggup
melihat bapanya itu “dihantar ke Sailong” ekoran daripada Siak yang tiada alah
berperang. Raja Alam mungkin mengetahui kelemahan anakandanya itu apabila dia
sengaja menghantar seorang utusan supaya memberitahu kepada Tengku Muhammad Ali
tentang keadaan nasib yang akan menimpa dirinya nanti.

Contoh petikan:
Dan Yamtuan Raja Alam pun menyuruh memberitahu anakanda Tengku
Muhammad Ali, “Dan hendaklah anakanda melawan kuat-kuat. Akan paduka
ayahanda, hendak dihantar Olanda ke Sailong.”(hlm. 474)

Setelah berlakunya permuafakatan di antara Tengku Muhammad Ali dengan
isterinya iaitu Tengku Embung, maka mereka mengambil langkah untuk mengundur diri
apabila Tengku Embung menjirus ubat bedil dengan air dan “Medan Sabar” ditembak
dan ditenggelamkan. Selepas daripada pengunduran inilah, peperangan saudara telah
berhenti kerana pihak Sultan Mahmud (yang diwakili oleh penggantinya ini) yang telah
mengalah demi menjaga hubungan kekerabatan dan persaudaraan.

Pembinaan plot dengan urutan cerita yang mempunyai sebab dan akibat dalam
Hikayat Melayu menjadikan naratif penceritaannya amat menarik. Setiap episod
dinaratifkan dengan baik dan mempunyai hubungan di antara satu sama lain. Plot yang
melingkari Hikayat Melayu ini masih lagi plot tradisional yang sama dengan plot sastera
sejarah sebelumnya walaupun ia ditulis pada abad ke-19.

Teks Hikayat Melayu merujuk kepada teks Sejarah Melayu. Rujukan kepada
salasilah keturunan dalam Sejarah Melayu adalah perkara biasa dalam tradisi penulisan
pada masa itu. Rujukan kepada Sultan Iskandar Zulkarnain adalah menjadi teras utama
kepada penulisan Hikayat Melayu ini. Walaupun dalam pengkisahan Hikayat Melayu,

Raja Kecil akan dikaitkan dengan Sultan Mahmud II tetapi pengesahan kedaulatan Raja
Kecil bermula daripada Iskandar Zulkarnain. Contohnya:
“... Jikalau engkau asal putera saudaraku di Johor, salasilah daripada Sultan
Iskandar Zulkarnain, nenek, nasab Nusirwan Adil, pancar Nabi Allah Sulaiman
‘alaihi wasallam, tiadalah dapat suatu apa-apa.”(hlm. 122).

Dalam Hikayat Melayu, Tengku Said mempunyai hubungan darah dengan Raja
Akil atau Sultan Abdul Jalil Syah. Kedudukannya sebagai anggota kerabat yang
berketurunan langsung daripada Raja Kecil, dalam lingkungan kerabat diraja Siak, dan
kedudukan moyang saudaranya iaitu Raja Alam. Dahulunya Raja Alam pernah berpihak
kepada Belanda dan pernah diangkat sebagai Raja Siak oleh kuasa Belanda. Maka, dalam
hal ini beberapa persoalan atau motif akan dilihat mengikut sudut pandangan Hikayat
Melayu itu sendiri.

PERSOALAN MARUAH/ MENUNTUT SEMULA HAK
Menurut Muhammad Yusoff Hashim (1992: 69), Raja Kecil barangkali memikirkan
bagaimana hendak merangka suatu muslihat, bagi membuktikan yang beliau berhak
menuntut takhta kerajaannya setelah Sultan Mahmud II mangkat dibunuh dan tanpa
meninggalkan sebarang zuriat lelaki. Dia berusaha meyakinkan orang-orang Melayu
Johor, dengan cara menyebarkan kepercayaan temurun Melayu, bahawa, dia sebenarnya
adalah putera tunggal Sultan Mahmud II.

Dia juga harus menanamkan keyakinan dalam
kalangan Orang Laut di Johor bahawa dia adalah waris yang sah dan berhak menuntut
takhta kerajaan Johor yang telah kosong selepas tahun 1699 itu, tetapi takhta tersebut
telah diambil oleh Bendahara Johor, pada tahun berikutnya, hinggalah ke tahun 1718.
Dalam perbincangan makalah ini, persoalan yang sebenar ialah barangkali bukan
untuk merangka muslihat tetapi perjuangan Raja Kecil untuk menuntut kembali takhta
kerajaan Johor adalah kerana maruah. Raja Kecil sebagai keturunan waris yang sah
daripada Sultan Mahmud II wajar menegakkan haknya semula. Sebagai waris tunggal
Sultan Mahmud II, dia perlu mengambil semula apa yang telah dirampas daripada
ayahandanya. Hal ini boleh dilihat dalam petikan, “...paduka anakanda hendak menuntut
kematian Marhum Mangkat Dijulang.” (hlm. 427).

Raja Kecil dikatakan perlu mendapatkan sokongan pihak Orang Laut, dalam
memecahkan ikatan pihak Melayu Johor dengan Bugis. Di samping itu, Orang Laut yang
memang terbilang kehandalannya sejak zaman Kesultanan Melaka menjadi “tulang
belakang” kekuatan tentera laut Johor dan ini akan menambah kekuatan militer Raja
Kecil yang sedia dianggotai oleh orang-orang Siak dan Minangkabau serta beberapa suku
Melayu dari pantai tenggara Sumatera (Muhammad Yusoff Hashim. 1992: 69).
Menurutnya lagi, hal inilah yang menyebabkan pengarang atau Raja Kecil
mencipta mitos-mitos dan menyebarkan dakyah dalam kalangan para pengikutnya
tentang asal-usulnya itu. Menurut catatan dalam Tuhfat Al-Nafis, sebelum menyerang
Johor, Raja Kecil menghantar pengikutnya menyebarkan dakyah ini. Contohnya petikan
Tuhfat al-Nafis (1998: 56):

“...ia menyuruh ke Kuala Johor, dan ke Singapura, akan seorang menterinya yang
pandai memujuk dan menipu-nipu memasukkan kepada hati rakyat dengan
perkataan mengatakan ia ini sebenarnya anak Marhum Mangkat Dijulang.

Sekarang ini adalah ia hendak ke Johor, hendak mengambil pesakanya menjadi
raja. Maka barang siapa rakyat yang tiada mahu mengikut, nanti ditimpa daulat
Marhum Mangkat Dijulang, tiada selamat sampai kepada anak cucunya...”
Pihak Orang Laut dengan mudah mempercayai dakwaan ini setelah dijanjikan
dengan beberapa kurniaan dan hadiah. Contoh petikan, Tuhfat al-Nafis (1998):
“... kurnia daripada Raja Kecik dan Raja Kecik sudah sedia dengan beberapa kayu
kain yang baik akan persalinan jenang batin itu, apa lagi Raja Negara” (hlm. 56)
Sebagai seorang raja yang berdaulat, wajarlah pengiktirafan diberi kepada Raja
Kecil. Sememangnya tanpa mitos, Raja Kecil wajar dihormati sebagai seorang anak raja
oleh Orang Laut dan rakyat sekaliannya.

Dalam Hikayat Melayu, jelas menunjukkan
bahawa, Raja kecil tidak pernah meminta pertolongan daripada Orang Laut malah beliau
hanya diiringi oleh “segala rakyat selat, dan segala yang di lahut” (1998: 125).
PERSOALAN DAULAT DAN KEBENARAN MITOS SETEMPAT
Kata-kata raja tidak boleh disanggah, dan konsep daulat dalam diri Raja Kecil bermula
apabila disahkan sendiri oleh Puteri Jilan. Konsep daulat dan tulah wujud dalam Hikayat
Melayu dan berlakunya konsep keterikatan antara raja dan rakyat.

Perkara ini boleh dilihat dalam petikan di bawah, contoh petikan:
“Adalah anak kita, Yang Dipertuan Raja Kecik, turun ke tanah lahut. Dan
hendaklah segala anak Minangkabau yang di lahut, yang selilit Pulau Perca,
sungai diapit oleh pasang, dan kita pulangkan aib malunya anak kita yang
menanggung malu anak Minangkabau. Dan jikalau anak Minangkabau tiada mahu
menyerta ia, baik dan jahatnya Yang Dipertuan Raja Kecik, kena sumpah, kena
bisa kawi. Dan jikalau orang Minangkabau tiada boleh mengiring dan hendaklah
ia persembah rial dua puluh dan setinggar selaras, obat sekati” (hlm. 123).

Sejajar dengan konsep daulat itu sendiri, apabila telah berada di perairan Johor,
Raja Kecil dilapor telah menawarkan air masin dengan selingkaran rotan, untuk
membuktikan kepada orang Johor, daulat dan tuahnya. Pembuktian ini dilakukan setelah
Raja Kecil diminta berbuat demikian oleh orang Johor. Contoh petikan:

Maka kata orang Johor, “Jikalau betul asal tuan kami, mintak tawarkan air yang
masin.” Dan titah baginda, “Baiklah”. Dan lalu diambil rotan, dilingkar,
dimasukkan ke dalam air. Maka baginda beryang-yang, “Jikalau betul asal dari
Johor, hendaklah Allah taala tawarkan air yang masin, menjadi tawarlah”. Lalu
dimasukkan ke dalam lingkaran rotan itu. Maka segera diambilnya air itu. Dan
masing-masing minum air itu, sangat tawarnya, lagi sejuk rasanya. Maka segala
orang Johor pun bersoraklah, “Ialah, tuanku patik, Tuanku Yang Maha Mulia
ini!” Dan banyaklah yang mengikut baginda. Dan baginda pun bertitah kepada
segala rakyat, “Hendaklah kamu mengatakan “daulat” (hlm. 125).

Hal ini mengingatkan kita suatu episod dari teks Sejarah Melayu yang menyebut
Sang Sapurba yang menggunakan selingkaran rotan sebesar perisai, untuk menawarkan
air masin setelah mencelupkan kakinya ke dalam lingkaran rotan tersebut. Peristiwa yang
terjadi di Kuala Kuantan ini nampaknya bersamaan motif dengan perihal yang dilakukan
oleh Raja Kecil tadi.

Motif yang sama menjadi perkara biasa dalam penulisan di abad ke-18 dan ke-19.
Penegasan kedaulatan raja melalui mitos adalah perlu untuk mengikat kontrak di antara
raja dengan rakyat yang akhirnya menjadi kontrak sosial masyarakat. Konsep raja sebagai
berdaulat dapat mengikat rakyat untuk mengikut perintah raja. Tambahan pula pada masa
tersebut, berlakunya perebutan kuasa di antara Raja Kecil dengan Raja Johor (Yang
Dipertuan Johor). Faktor kerajaan yang kacau bilau dengan peperangan menjadikan
rakyat mencari perlindungan kepada pemerintah yang lebih kuat dan lagi berdaulat.
Sejajar dengan konsep “waadat” pada masa itu, perintah raja mestilah diikut dan tidak
boleh disanggah.

Hikayat Melayu telah memperlihatkan Raja Kecil sebagai seorang yang berdaulat
dan berani berperang untuk menuntut bela. Contoh petikan:

Maka baginda pun masuk ke negeri Johor. Maka dibedil orang dari kubu Johor.
Maka segala meriam pun keluar air kepada mulut meriam. Satu pun tiada
berbunyi. Maka baginda pun mudik, didayungkan oleh segala rakyat, sambil
bertimang, berakung, lalu ke Pangkalan Rama, di jambatan dalam. Maka baginda
pun melompat naik ke atas jambatan. Baginda memegang pedang kerajaan yang
bernama Sepurejab, telah terunus dari sarungnya...”(hlm. 125).

Muhammad Yusoff Hashim (1992: 70) berpendapat dari aspek mitos inilah
fungsionalnya Hikayat Melayu sebagai mekanisme politik dan alat komposisi untuk “to
prop up” karisme Raja Kecil bagi menghalalkan hak dan legalitasi kuasa, sebagai seorang
pewaris takhta yang sah, tetapi “terbuang” ke Minangkabau, semasa di dalam kandungan
ibunya. Ia secara kebetulan terjadi ketika Johor sedang dilanda krisis politik akibat
wujudnya kelompok pro dan kontra dalam kalangan pemegang kuasa dan pentadbir
mengenai isu penggulingan dan pembunuhan Sultan Mahmud serta isu penggantian
baginda selepas itu.

Perlu diperjelaskan, walaupun berlakunya konflik dalaman kerajaan Johor pada
masa itu, faktor ini bukanlah menjadi sebab utama Raja Kecil sewenang-wenangnya
diterima untuk menjadi Raja Johor. Sebagai seorang raja, beliau berhak mempertahankan
keturunannya dan nasabnya. Kebenaran yang wujud dalam Hikayat Melayu dan sejarah
Siak ialah Raja Kecil bukanlah “orang buangan” tetapi mempunyai nasab yang sah dari
keturunan Sultan Mahmud II.

KESIMPULAN
Dalam teks Hikayat Melayu, zaman Melaka mempunyai tiga tahap perkembangan iaitu
zaman bermulanya kerajaan di negeri Melaka yang diperintah oleh beberapa orang raja,
mengalami tahap kegemilangan dan kemasyhuran dan juga mengalami tahap
kemerosotan dan kejatuhan. Zaman kegemilangan Melaka dikaitkan dengan sikap rajarajanya
yang adil, dan tidak menzalimi rakyat. Tahap kemerosotan kerajaan Melaka
berlaku apabila berlakunya pembelotan oleh rakyat terhadap raja yang dirasakan tidak
adil, kejam dan zalim.

Sultan Mahmud II yang telah dibunuh dikatakan telah meninggalkan pewaris yang
sah di dalam teks Hikayat Melayu. Zaman selepas kejatuhan dan kemerosotan kesultanan
Melayu Melaka diteruskan dengan zaman pemerintahan kerajaan Siak. Pemerintahan di
Siak digambarkan oleh pengarang dengan beberapa peristiwa seperti berlakunya perang

saudara, kemasukan penjajah asing seperti Inggeris dan Belanda, hubungan baik
pemerintah dengan penjajah, penjajah yang memonopoli perdagangan dan hasil bumi di
Siak, raja yang menjalani kehidupan seperti rakyat biasa, contohnya menjalankan
perniagaan, mendapat gaji daripada penjajah dan akhirnya hubungan baik di antara
penjajah dan golongan diraja ini dilihat turut merubah keadaan sosio politik di Siak.

Berdasarkan ciri-ciri yang dijelaskan, maka teks Hikayat Melayu adalah sebuah
teks sastera sejarah. Justeru, Tengku Said dalam penulisannya melalui Hikayat Melayu
masih lagi mengekalkan nilai yang ada dalam Hikayat Melayu itu dan melalui
kepengarangannya dia mengekalkan rujukannya kepada karya kanon iaitu Sejarah
Melayu dan meletakkan dirinya sebagai pengarang yang cuba mengesahkan kehadiran
teks barunya itu dengan merujuk kepada tradisi.

RUJUKAN
Ali Ahmad. 1987. Karya-karya bercorak sejarah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Andaya B.W. dan Andaya L.Y. 1982. A history of Malaysia. London: Macmillan
Educ.Ltd.
Annas Haji Ahmad. 1977. Sastera Melayu lama dan baru. Kuala Lumpur: Hon Hong
Press.
Awang Sariyan. 1987. Persuratan Melayu kosmopolitan: Kenyataan dan harapan. Kertas
kerja, Hari Sastera 85: Sastera Melayu tradisi dan kosmopolitan. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Barthes. Roland. 1987. Death of the author. Dalam P. Barry (peny.). Issues in
contemporary critical theories. London: Macmillan.
Braginsky V.I. 1994. Erti keindahan dan keindahan erti dalam kesusasteraan Melayu
klasik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dictionary of world literature. 1960. Shipley, Joseph Twadell (Ed.). Littlefield, Adam &
Co.
Hikayat Melayu. 1998. Muhammad Yusof Hashim (peny.). Melaka: IKSEP.
Hikayat Siak. 1992. Muhammad Yusof Hashim (peny.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Kamal Ariffin. 1985. Sejarah sastera Melayu klasik dan moden. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Kamus dewan edisi keempat. 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Laurenson, Diana and Swingewood, Alan. 1972. The sociology of literature. New York:
Schocken Books.
Liaw Yock Fang. 1978. Sejarah kesusasteraan Melayu klasik. Singapura: Pustaka
Nasional.
Muhammad Yusoff Hashim. 1992. Pensejarahan Melayu: Kajian tentang tradisi sejarah
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhammad Hj Salleh. (2000). Puitika sastera Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Noriah Taslim. 1993. Teori dan kritikan sastera Melayu tradisional. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Plummer, Ken. 1997. “An invitation to a sociology of stories” dlm Ann Gray and Jim
McGuigan (peny.). Studying culture: An introductory reader London: Arnold.
Sulalatus Salatis. 1996. A.Samad Ahmad (peny.). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Siti Hawa Salleh. 1997. Kesusasteraan Melayu abad kesembilan belas. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Tuhfat Al-Nafis. 1998. Virginia Matheson (peny.). Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan
dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wolff. Janet. 1981. The social production of art. London: The Maxmillan Press Ltd.

Biodata Penulis:
Norazimah Hj Zakaria
Dilahirkan pada 8 Ogos 1979; berasal dari negeri Pahang Darul Makmur. Lulusan
Sarjana Sastera dari Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah dari Universiti
Malaya. Merupakan pensyarah dalam bidang kesusasteraan Melayu tradisional di Jabatan
Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan komunikasi, Universiti
Pendidikan Sultan Idris, Perak.

Sumber : http://ejournal.ukm.my/jmelayu/article/viewFile/5061/2613

No comments:

Post a Comment